Aug 08, 2025 - FASSelangor FC membuka tirai saingan Liga Super Malaysia musim 2025/26 hari ini dalam perlawanan Piala Sumbangsih 2025 menentang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail pada jam 9 malam.
Ini merupakan Piala Sumbangsih kedua berturut-turut di antara Selangor FC dan JDT, namun, malam ini akan menjadi aksi pertama perlawanan ini secara rasmi dimainkan selepas pasukan terpaksa menarik diri atas insiden simbah asid yang dialami oleh kapten Gergasi Merah, Faisal Halim pada musim lalu.
Menurut Katsuhito Kinoshi, Ketua Jurulatih Selangor FC, beliau yakin dengan persiapan pasukan dan berharap daripada persiapan tersebut pemain akan berikan siangan yang tinggi di atas padang.
“Saya optimis dengan persiapan yang telah kita lakukan sepanjang tempoh pramusim dua bulan lalu, sama ada di Thailand atau di negeri Selangor. Setiap perlawanan persahabatan tersebut sangat membantu dalam pelbagai aspek persiapan bagi musim 2025/26. Saya yakin pemain-pemain akan berikan saingan yang tinggi dengan penuh keyakinan dan mental yang kuat menentang sebuah pasukan yang kuat pada malam ini,” kata Kinoshi.
Sebelum mengakhiri temubual, beliau juga sempat menyampaikan harapannya kepada para penyokong Merah Kuning, “Saya berharap, para penyokong Gergasi Merah akan terus berikan sokongan kepada pasukan dan berharap kita dapat harungi musim 2025/26 yang penuh dengan cabaran ini bersama.”
Bagi keberadaan pemain, setakat ini, para pemain bersedia untuk diturunkan bagi berjuang untuk Gergasi Merah. Dalam masa yang sama, perlawanan pembukaan ini bakal menjadi aksi penampilan sulung bagi wajah-wajah baharu Selangor FC musim 2025/26; Willian Lira (Penyerang), Zach Clough (Pemain Tengah), Picha Autra (Pemain Tengah), Chrigor Moraes (Penyerang), Omid Musawi (Penyerang) dan Moses Raj (Pemain Pertahanan).
Pihak pengurusan Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan dalam aksi Piala Sumbangsih 2025 yang juga merupakan perlawanan pertama Liga Super Malaysia musim ini. Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggan!